The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Michael Feichtenbeiner Watak Penting Dalam Transformasi Selangor

Dec 24, 2019 - FAS

Selangor mengorak langkah baru dalam perlaksanaan pembangunan bola sepak jangka masa panjang apabila melantik Michael Feichtenbeiner sebagai pengarah teknikal dan ketua jurulatih skuad reserve team baru-baru ini.

Pemegang lesen pengurus bola sepak Pro UEFA ini bakal diberi tanggungjawab untuk mengawal selia perkara-perkara teknikal bola sepak Selangor, selain menjadi ketua jurulatih bagi reserve team Selangor dan membantu pembangunan pemain-pemain muda.

Objektif utama beliau sejurus selepas pulang daripada cuti Krismas adalah untuk membangunkan DNA bola sepak Selangor, mencungkil bakat-bakat yang mampu memberi saingan kepada pemain-pemain skuad utama, memperkenalkan garis panduan untuk mencari bakat-bakat yang bersesuaian dengan filosofi bola sepak Selangor serta menerapkan sains sukan dalam skuad-skuad pembangunan. 

Michael yang mempunyai lebih 36 tahun pengalaman bekerja di empat negara berbeza bukan sahaja pernah menyandang jawatan sebagai jurulatih, malah turut pernah menjadi pengarah sukan dan ketua akademi belia telah membuktikan kualiti yang dimilikinya.

Perjalanan karier Michael telah membawa beliau ke serata dunia. Beliau pernah berkhidmat bukan sahaja di Jerman, malah di beberapa buah negara lain di Eropah seperti Switzerland, Scotland dan Asia seperti Indonesia dan Malaysia.

Untuk rekod, beliau pernah membimbing skuad Majlis Perbandaran Petaling Jaya, MPPJ FC mulai tahun 2005 bersama ketua jurulatih Selangor sekarang, B. Satiananthan.

Walau bagaimanapun, antara faktor utama Selangor menawarkan jawatan Pengarah Teknikal kepada Michael adalah atas faktor pengalaman beliau selaku ketua jurulatih kebangsaan Jerman untuk skuad bawah 17 tahun yang dipegangnya selama 4 tahun sejak tahun 2015.

Diharapkan, dengan kualiti dan pengalaman yang dimiliki oleh Michael Feichtenbeiner, transformasi skuad Red Giants akan lebih lengkap dan dapat melahirkan lebih ramai pemain-pemain muda untuk kelangsungan jangka panjang kelab ini.

Biodata ringkas:

Nama: Michael Feichtenbeiner

Jawatan disandang: Pengarah Teknikal Selangor & Ketua Jurulatih Reserve Team Selangor

Tarikh Lahir: 9 Julai 1960

Bekas kelab: Red Bull Salzburg, FC Liefering, Jerman B-17, Medan Bintang FC, Energie Cottbus, Selangor MPPJ, SV Stuttgart Kickers, Basel Old Boys, VFB Stuttgart

Bekas pemain yang pernah dilatih: Thomas Tuchel, Sean Dundee, Patrick Helmes, David Wagner, Markus Weinzierl, Marcus Sorg, Hans-Peter Zwicker

 

Herzlich willkommen, Michael!